Sunday, January 30, 2022

PQ - IPCMC (16/12/2021) - MP Syed Saddiq

 

SOALAN NO: 417

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BUKAN LISAN (BERTULIS)

DEWAN RAKYAT, MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KEEMPAT BELAS

PERTANYAAN : BUKAN LISAN (BERTULIS)

DARIPADA : YB TUAN SYED SADDIQ B. SYED ABDUL RAHMAN (MUAR)

SOALAN

TUAN SYED SADDIQ BIN SYED ABDUL RAHMAN [ MUAR ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan komitmen Kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dalam usaha untuk meningkatkan ketelusan urus tadbir Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan untuk menyiasat semua kes yang didakwa mati dalam tahanan (custodial death)

SOALAN NO: 417

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Susulan pertukaran Kerajaan pada 1 Mac 2020, Mesyuarat Jemaah Menteri (MJM) pada 1 April 2020 telah bersetuju supaya tanggungjawab RUU IPCMC diserahkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan dibentangkan semula di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri.

Lanjutan dari keputusan MJM tersebut, KDN melalui Jawatankuasa Teknikal telah menjalankan kajian terperinci bagi tujuan penggubalan RUU yang baharu bagi menggantikan RUU IPCMC. RUU yang baharu ini dinamakan semula sebagai RUU Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC). RUU IPCC telah dibuat bacaan kali pertama pada 26 Ogos 2020 di Dewan Rakyat. Namun bacaan kali kedua yang dijadualkan pada 27 Ogos 2020 telah ditangguhkan dan akan dibaca di sidang Parlimen pada penggal ini.

Kementerian Dalam Negeri berpandangan isu-isu yang dibangkitkan berhubung penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) tidak lagi relevan memandangkan Rang Undang-Undang IPCMC telah ditarik balik daripada pembentangan bacaan kali kedua oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan menerusi Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2020.

No comments: