Sunday, January 30, 2022

PQ = Death in Police Custody (16/12/2021) - MP RAMLI BIN DATO' MOHD NOR

 

Parliamentary Questions 16/12/2021 - MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT PARLIMEN KEEMPAT BELAS 2021 [https://www.parlimen.gov.my/files/jindex/pdf/JDRBL16122021.pdf]

SOALAN NO: 331

PEMBERITAHUAN PERTANYAAN BUKAN LISAN (BERTULIS)

DEWAN RAKYAT, MESYUARAT KEDUA, PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KEEMPAT BELAS

PERTANYAAN : BUKAN LISAN (BERTULIS)

DARIPADA : TUAN RAMLI BIN DATO' MOHD NOR (CAMERON HIGHLANDS)

SOALAN

TUAN RAMLI BIN DATO' MOHD NOR [ CAMERON HIGHLANDS ] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan apakah langkah-langkah pencegahan yang akan dan sedang diambil oleh PDRM, SPRM dan Imigresen untuk memastikan tiada lagi kes kematian dalam tahanan di negara ini.

SOALAN NO: 331

JAWAPAN

Tuan Yang Di Pertua,

Langkah-langkah yang diambil pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meminimakan kes-kes kematian tahanan dalam lokap khususnya tahanan yang mengalami masalah kesihatan adalah dengan menyediakan garis panduan (SOP) yang lebih ketat termasuk dalam menguruskan tahanan sakit, rondaan yang lebih kerap di sel pada waktu malam, penyediaan bilik rawatan dan pembantu perubatan serta penambahan anggota polis yang menguruskan tahanan.

Di samping itu, Kementerian sedang dalam proses menambahbaik pengurusan lokap PDRM melalui pewujudan Custodial Medical Unit (CMU) di lima (5) Lokap Berpusat PDRM dengan Lokap Berpusat Bayan Baru, Pulau Pinang dijadikan sebagai projek rintis. Kementerian turut merancang untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan ke atas tahanan melalui pelantikan panel klinik swasta. Dengan kaedah ini, pemeriksaan tahap kesihatan tahanan dapat dibuat dengan segera sebelum tahanan dimasukkan ke dalam lokap.

Selain itu, pemasangan kamera litar tutup atau CCTV di semua lokap balai polis juga sedang dilaksanakan mengikut 5 zon (Utara, Selatan, Timur, Sabah, Sarawak) sebagai penambahbaikan bagi mengatasi isu kematian di dalam tahanan. Projek pemasangan CCTV Lokap PDRM dijangka akan selesai pada akhir tahun ini.

SOALAN NO: 331

Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia juga sentiasa menitikberatkan hal ehwal kebajikan tahanan di Depot Imigresen dengan menyediakan penjagaan khas serta perlindungan ke atas mereka semasa dalam tahanan. Prosedur pengurusan tahanan yang berada dalam Depot Imigresen adalah berpandukan Arahan Tetap Ketua Pengarah Imigresen Mengenai Prosedur Pentadbiran dan Pengurusan Depot Imigresen.

Sebagai langkah bagi memastikan tahap kesihatan yang baik di kalangan tahanan, pihak Jabatan Imigresen Malaysia telah telah mengadakan sesi libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan menempatkan 25 orang Penolong Pegawai Perubatan Gred U29/32 di depot imigresen seluruh Malaysia bagi memberikan rawatan awal kepada tahanan. Bagi memperkukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan di depot, klinik kesihatan yang terdekat dikenal pasti sekaligus bertindak sebagai pusat rujukan kepada Penolong Pegawai Perubatan Gred U29/32 serta untuk membantu dari aspek keperluan perubatan. Mereka juga bertanggungjawab membuat lawatan dan pemantauan secara berkala ke depot imigresen.

Kerajaan juga membuat penambahbaikan semasa melalui kerja-kerja menaik taraf depot imigresen sedia ada dengan menyediakan ruang dan fasiliti yang sesuai untuk semua tahanan.

Dalam pada itu, isu kematian di lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bukan berada di bawah bidang kuasa KDN. Sehubungan itu, adalah dicadangkan agar persoalan ini dikemukakan terus kepada pihak SPRM yang berada bawah tanggungjawab Jabatan Perdana Menteri (JPM).

No comments: