KENYATAAN
MEDIA
MAKLUMAN SIASATAN
SURUHANJAYA INTEGRITI AGENSI PENGUATKUASAAN (EAIC)
KE ATAS KEMATIAN
SYED MOHD AZLAN BIN SYED MOHAMED NUR SEMASA DI DALAM TAHANAN POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)
Putrajaya – 30 Oktober 2015 - Suruhanjaya Integriti Agensi
Penguatkuasaan atau Enforcement Agency Integrity Commission (EAIC) ingin
mengumumkan kepada orang awam mengenai dapatan (findings) siasatan oleh
Suruhanjaya ini ke atas kematian Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur semasa
dalam tahanan PDRM.
Dalam hal ini, EAIC melalui Pasukan Petugas yang dibentuk telah
menjalankan siasatan yang merangkumi terma-terma rujukan yang berikut:
Terma-terma rujukan (terms of reference) Pasukan Petugas adalah seperti
berikut:
(i) Untuk mengenal pasti sama ada terdapat sebarang salah laku
seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 24 Akta 700 oleh pegawai/ anggota
PDRM semasa mengendalikan tahanan tersebut;
(ii) Sekiranya terdapat salah laku dizahirkan, untuk menentukan
dan mengenal pasti:
(a) bagaimana dan mengapa salah laku itu terjadi;
(b) apakah
peraturan-peraturan, kaedah-kaedah, Standard Operating Procedures (SOP)
atau mekanisme yang menyebabkan atau mendorong kepada berlakunya salah laku
tersebut; dan
(c) siapakah individu
yang bertanggungjawab ke atas salah laku tersebut.
(iii) Untuk melakukan
semua perkara yang suai manfaat atau yang semunasabahnya perlu bagi, atau yang
bersampingan dengan, pelaksanaan fungsinya dalam menyiasat kes kematian tahanan
tersebut selaras dengan peruntukan Akta 700;
(iv) Untuk mengesyorkan
apa-apa penambahbaikan atau penggubalan semula peraturan-peraturan,
kaedah-kaedah, SOP atau mekanisme bagi memastikan salah laku tersebut tidak
berulang; dan
(v) Untuk menyedia dan
mengedarkan laporan mengenai hasil dan dapatan siasatan dan syor-syor
terhadapnya.
Sehubungan dengan
pembentukan Pasukan Petugas tersebut, Pasukan Petugas yang telah mengambil
tindakan berikut:
(a) mengambil
keterangan daripada 35 orang saksi (termasuk anggota polis berkaitan
penangkapan dan tahanan Syed Mohd Azlan (si mati), pegawai perubatan, orang
awam dan juga ahli keluarga si mati);
(b) melawat dan
memeriksa tempat kejadian di mana Syed Mohd Azlan telah ditangkap;
(c) meneliti dan
mengkaji dokumen-dokumen yang berkaitan termasuk laporan polis berkenaan
tangkapan, catatan Buku Perharian Balai, laporan bedah siasat dan laporan kimia
beserta gambar-gambar berkaitan;
Latar belakang kejadian
tangkapan dan kematian si mati adalah seperti berikut:
(i) Pada 19 September,
2014 lebih kurang jam 1.00 pagi, pengadu iaitu seorang lelaki Melayu bersama
beberapa rakannya termasuk seorang teman wanita pengadu telah pergi ke rumah di alamat No. 53, Kampung Dato’
Abdul Ghani untuk berjumpa dengan Syed Mohd Azlan bin Syed Mohamed Nur (si
mati). Mereka diberitahu oleh bapa si mati bahawa si mati tiada di rumah pada
ketika itu.
(ii) Lebih kurang 30 minit kemudian, si mati pulang ke rumah
bersama beberapa rakan si mati dengan menaiki kereta jenis Proton Saga berwarna
perak serta sebuah lagi kereta jenis Honda berwarna hitam. Setiba di situ, si
mati dan rakan-rakan si mati dikatakan telah keluar daripada kereta dengan
bersenjatakan senjata berbentuk sepucuk pistol dan sebilah pedang samurai lalu
menyerang pengadu dan rakan-rakan pengadu sehingga mendatangkan kecederaan ke
atas pengadu dan rakan pengadu. Pengadu berjaya melarikan diri dari terus
diserang.
(iii) Satu laporan polis telah dibuat oleh pengadu di Balai Polis
Sungai Rengit (Sg Rengit Rpt: 816/2014) bersabit dengan kejadian tersebut pada
19 September 2014 jam 4.45 pagi. Satu kertas siasatan telah dibuka oleh pihak
polis untuk disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan, iaitu
memiliki senjata di dalam rusuhan.
(iv) Pada 3 November
2014, jam lebih kurang 3.30 pagi, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis
seramai 13 orang anggota yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat
Inspektor telah membuat serbuan ke atas sebuah bilik sewa di rumah bernombor
62, Kampung Simon, Teluk Ramunia, Sungai Rengit, Pengerang, Johor dan telah menangkap
si mati. Tiada apa-apa senjata api dijumpai dari si mati.
(v) Selepas ditangkap,
si mati telah dibawa balik ke Balai Polis Sungai Rengit untuk disoal siasat
berkaitan kejadian pergaduhan dan penyimpanan senjata api. Bagaimana pun masih
tiada senjata api ditemui walau pun pihak polis telah membuat penggeledahan di
rumah bapa si mati.
(vi) Pada jam lebih
kurang 7.10 pagi pada hari yang sama, si mati telah dibawa oleh pihak polis
menaiki kenderaan polis dari Balai Polis Sungai Rengit untuk pergi ke Ibu
Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi bagi tujuan menguruskan permohonan reman
ke atas si mati berkaitan kes di mana si mati di tangkap yang disiasat di bawah
seksyen 148 Kanun Keseksaan bersabit Sg. Rengit Rpt: 816/2014.
(vii) Semasa di dalam
perjalanan ke IPD Kota Tinggi, anggota polis yang mengiringi si mati mendapati
si mati berada di dalam keadaan yang lemah dan tidak bermaya serta tidak
memberikan sebarang respon kepada panggilan/pertanyaan yang dibuat oleh anggota
pengiring tersebut. Anggota pengiring tersebut sertamerta memaklumkan keadaan
si mati kepada pegawai tangkapan yang ikut sama di dalam kereta tersebut.
(viii) Di atas arahan
pegawai tersebut, mereka terus menuju ke klinik berdekatan iaitu Klinik
Kesihatan Bandar Penawar. Setibanya mereka di Klinik Kesihatan Bandar Penawar
pada jam lebih kurang 8.30 pagi, pegawai perubatan bertugas iaitu Dr. Mohd
Mahdzan Bin Mazelan telah melakukan pemeriksaan ke atas si mati dan mengesahkan
bahawa si mati telah meninggal dunia.
(ix) Satu laporan polis
tentang kematian si mati telah dibuat oleh pegawai iaitu ketua pasukan
tangkapan pada 3 November 2014, jam 10.15 pagi (hari yang sama) melalui Bandar
Penawar Report No. 002169/14.
(x) Pada 4 November
2014, bedah siasat (post mortem) telah dijalankan ke atas mayat si mati
oleh Dr. Rohayu binti Shahar Adnan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru yang
mengesahkan punca kematian adalah akibat daripada trauma hentakan tumpul pada
dada (blunt force trauma to chest). Pemeriksaan juga mendapati si mati
mengalami 61 jenis kesan luka/lebam/calaran (bruises) pada tubuh badan
termasuk pada bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki si mati. Satu
laporan post mortem telah disediakan oleh doktor pakar tersebut.
Siasatan kes kematian
si mati tersebut telah selesai dijalankan oleh Pasukan Petugas EAIC dan
diterima oleh EAIC selari dengan terma-terma rujukan siasatan. Dapatan (findings)
siasatan adalah seperti berikut:
1. Kematian Syed Mohd
Azlan Bin Syed Mohamed Nur (si mati) mempunyai kaitan dengan penggunaan
kekerasan secara fizikal oleh pihak polis yang menjalankan tangkapan dan soal
siasat ke atas si mati;
2. Pakar Perunding dan
Ketua Jabatan, Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru,
yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat si mati mendapati kematian Syed
Mohd Azlan disebabkan oleh trauma hentakan tumpul (blunt force trauma to the
chest) ke atas dada si mati tersebut. Pemeriksaan juga mendapati si mati
mengalami 61 jenis kecederaan di bahagian muka, badan dan kedua-dua belah kaki.
Sebahagian daripada kecederaan yang dialami oleh si mati konsisten dengan
kecederaan semasa berusaha mempertahankan diri daripada kekerasan fizikal yang
dilakukan ke atasnya oleh anggota-anggota polis.
3. Terdapat perlakuan
gangguan bahan bukti yang material oleh anggota PDRM iaitu,
(i) membersihkan tempat
kejadian sebelum dilawati dan diperiksa oleh pegawai perubatan,
(ii) melupuskan tikar
getah dan karpet yang dipercayai mempunyai kesan darah si mati di tempat
kejadian tangkapan, dan
(iii) perlakuan
menyembunyikan/menghilangkan saksi mata (eye witness) yang melihat
kejadian tangkapan si mati;
4. Terdapat anggota
tangkapan yang menggunakan gari milik persendirian anggota tersebut yang bukan
dibekalkan oleh PDRM bagi menggari si mati selepas ditangkap yang telah
menyumbang kepada berlakunya kecederaan di pergelangan tangan si mati.
5. Terdapat beberapa
pemecahan serius (serious breach) ke atas Standard
Operating Procedure (SOP) PDRM berkaitan tatacara tangkapan dan pengendalian
orang tangkapan, sitaan barang kes dan integriti keterangan (SOP Tangkapan
Jabatan Siasatan Jenayah PDRM); SOP Jabatan Siasatan Jenayah (Prosedur
Penggeledahan dan Rampasan) telah dilakukan oleh pegawai dan anggota pasukan
serbuan yang dikenalpasti oleh siasatan ini;
6. Terdapat perlakuan
serangan bersifat jenayah yang melibatkan unsur niat bersama atau pensubahatan
(abetment) oleh anggota PDRM yang terdiri daripada anggota pasukan
tangkapan bagi melakukan kekerasan fizikal secara sengaja ke atas si mati yang
telah mengakibatkan kecederaan dan kematian ke atas si mati, dan perlakuan ini
adalah merupakan jenis kesalahan bersifat jenayah di bawah undang-undang,
khususnya kesalahan di bawah seksyen 302 dan seksyen 325 Kanun Keseksaan dibaca
bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan atau secara alternatif seksyen 107 Kanun
yang sama;
7. Selaras dengan
peruntukan seksyen 30(1)(b) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
2009 [Akta 700], Suruhanjaya mengesyorkan kepada Pihak Berkuasa
Patatertib (PBT) PDRM untuk tindakan tatatatertib dibawa terhadap pegawai dan
anggota-anggota yang dikenalpasti di dalam laporan penuh Suruhanjaya yang
didapati telah melakukan salah laku seperti mana skop salah laku yang diberikan
di bawah seksyen 24 Akta 700;
8. Selaras dengan
peruntukan seksyen 30(1)(c) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan
2009 [Akta 700], EAIC mengesyorkan kepada Pendakwa Raya (Peguam Negara)
bagi pendakwaan jenayah dibawa terhadap pegawai dan anggota PDRM yang didapati
telah melakukan salah laku bersifat kesalahan jenayah seperti yang dikenalpasti
di dalam laporan penuh siasatan ini.
EAIC juga sebagai
tambahan mengemukakan syor dan cadangan berikut kepada PDRM sebagai
penambahbaikan dalam usaha meningkatkan kecekapan dan kualiti pengurusan orang
tahanan atau orang tangkapan bagi mengelakkan insiden kematian orang tahanan
atau orang tangkapan semasa berada di dalam tahanan:
1. PDRM menambahbaik
SOP berkaitan dengan tangkapan. Jika sekiranya orang tangkapan didapati
mengalami kecederaan fizikal (walaupun kecederaan nampak seperti tidak serius),
maka saspek itu hendaklah dirujuk terus kepada mana-mana Pegawai Perubatan
Kerajaan bagi memastikan tahap keseriusan kecederaan serta status kesihatan
saspek tersebut;
2. PDRM mengadakan “refresher course” atau “refresher training” yang berterusan secara
berkumpulan dan berperingkat kepada semua lapisan pegawai dan anggota yang
terlibat di dalam operasi serbuan/tangkapan untuk memastikan supaya pegawai dan
anggota benar-benar memahami dan mengamalkan kehendak serta tatacara yang
diperuntukkan dalam kes-kes tangkapan atau operasi yang berkaitan dengan
tangkapan;
3. PDRM memperketatkan dan menjalankan pemantauan dengan lebih
berkesan ke atas pematuhan oleh pegawai dan anggota PDRM ke atas SOP Jabatan
Siasatan Jenayah atau Perintah Tetap khususnya berkaitan soalsiasat ke atas
orang tahanan, penyitaan barang kes dan kewajipan menyediakan borang geledah
atau borang bongkar. Di dalam perkara ini terdapat SOP yang melarang sebarang
penggunaan kekerasan ke atas orang tahanan semasa disoalsiasat (PTKPN A 118);
4. PDRM mengemaskini SOP yang berkaitan bagi melarang sama sekali
manamana pegawai atau anggota dari menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan
atau peralatan yang bukan dibekalkan oleh PDRM dalam apa-apa operasi tangkapan;
dan
Selain itu, EAIC juga
mengesyorkan supaya kajian dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri dan
Jabatan Peguam Negara ke atas kesesuaian untuk meminda peruntukan Kanun
Keseksaan dan Akta Keterangan 1950 bagi memasukkan peruntukan anggapan (presumption)
yang akan meletakkan beban bukti ke atas pihak yang mempunyai jagaan dan
kawalan ke atas orang tahanan sebagai bertanggungan ke atas kecederaan atau
kematian orang tahanan sehingga diakaskan atau dibuktikan sebaliknya. Ini akan
dapat mengimbangi keadaan di mana monopoli keterangan hanya dimiliki oleh pihak
yang melakukan tahanan ke atas orang tahanan atau mangsa bagi kes-kes kejadian
kematian dan kecederaan orang tahanan di bawah jagaan mana-mana pihak berkuasa
berkaitan.
EAIC berasa kesal ke
atas kes-kes kematian tahanan dalam lokap yang berulang kali berlaku dalam
negara dan memandang serius kepada perkara ini. Kejadian kematian orang tahanan
akibat daripada kecederaan tubuh badan semasa di dalam tempoh tahanan oleh perlakuan
salah laku anggota penguat kuasa hendaklah dibasmi sama sekali. Demi menjaga
integriti semua pihak, diharapkan syor-syor Suruhanjaya ini diberi perhatian
dan tindakan serius oleh semua pihak-pihak yang berkaitan. Untuk mendapatkan
butiran lanjut kandungan laporan siasatan ini orang awam boleh mendapat akses
melalui laman sesawang EAIC di alamat www.eaic.gov.my.
-TAMAT
DATUK YAACOB BIN HAJI
MD. SAM
Pengerusi Suruhanjaya
Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)
Bertarikh 30 Oktober
2015